Saturday, 28 May 2016

LAPORAN PAMERAN BAHAN BANTUAN MENGAJAR

Laporan bagi pameran bahan bantuan mengajar ini merangkumi tiga fasa iaitu sebelum hari pameran, semasa hari pameran dan selepas hari pameran. 

SEBELUM HARI PAMERAN

  • Kumpulan kami  telah membuat satu perbincangan untuk memilih teknik yang ingin dijadikan sebagai salah satu teknik selaras dengan bahan bantuan mengajar. 
  • Sebelum memulakan pameran kumpulan kami terlebih dahulu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk membina alat bantu mnegajar sesuai dengan teknik yang telah dipilih iaitu teknik prosedur ReQuest. 
  • Seminggu sebelum membina alat bantuan mengajar kami menyenaraikan bahan-bahan yang diperlukan seperti kotak, kertas warna, dart, gam dan kabus. 
  • Kami memilih permainan dam ular yang telah diubai suai dan membaling dart sebagai alat bantuan mengajar kumpulan kami. 
  • Sehari sebelum hari pameran juga kami telah mengatur tempat pameran kumpulan kami iaitu kumpulan D4. Kami menghias meja dan papan pameran untuk hari pameran. Kerja-kerja membersihkan tempat pameran juga dilakukan. 




Gamabar di atas menunjukkan kumpulan kami sedang menghias dan membersihkan tempat pameran sehari sebelum hari pameran. 


SEMASA HARI PAMERAN
  • Semasa hari pameran kumpulan kami telah menyediakan maklumat tentang Teknik Prosedur ReQuest dan juga melekatkan dart alat bantu mengajar kami di atas papan pameran. Manakala dam ular yang telah diubah suai diletakkan di lantai. 
  • Pameran berlangsung dengan sangat baik. Pameran berlangsung daripada pukul 8.00 pagi sehinggah pukul 1.00 tengah hari. 
  • Bahan bantuan mengajar kami mendapat perhatian ramai daripada pengunjung pada hari pameran tersebut. 
  • Cara menggunakan alat bantu mengajar kami adalah seperti berikut:

  1. Dua atau seorang pelajar mewakili kumpulan diperlukan untuk memainkan permainan ini. 
  2. Kemudian, terdapat lima balang soalan yang berwarna -warni yang berisi pelbagai-bagai soalan. 
  3. Pelajar dikehendaki untuk membalingkan dart yang telah disediakan. Kemudian dart yang terkena pada sasaran mengikut warna akan menjawab soalan daripada bekas sesuai dengan warna sasaran. 
  4. Sekiranya, pelajar mampu menjawab soalan tersebut, pelajar akan maju ke langkah seterusnya, sekiranya gagal akan diberikan denda seperti menyanyikan lagu Negaraku ataupun mencipta pantun. 
  5. Pelajar yang berjaya menghabiskan permainan ini diberikan hadiah misteri. 
  • Pengunjung terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan pelajar-pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris. 




 


Gambar di atas menunjukkan bahan pameran semasa berlangsungnya pameran. Sasaran untuk dart dan juga maklumat tentang Prosedru ReQuest dilekatkan pada papan pameran. 







Gambar kedua menunjukkan bahan bantuan mengajar yang digunakan iaitu dam. Pelajar bukan sahaja bermain sambil belajar malah kata-kata semangat seperti Jangan Menyerah!, Berusaha Lagi! , dan Anda Hebat! dituliskan atas dam untuk menaikkan lagi semangat pelajar dalam mempermainkan permainan ini. 











Gambar di atas menunjukkan pengunjung sedang bermain menggunakan alat bahan bantuan mengajar dam dan dart ini. 


 Semasa pameran dijalankan kami turut menyediakan Photobooth kepada pengunjung untuk mengambil gambar kenang-kenangan sepanjang pameran ini. Gambar-gambar di atas juga adalah gambar ahli-ahli kumpulan bersama pengunjunga pameran kumpulan kami. 








Kumpulan kami juga telah menyediakan "Guest Book" untuk mendapatkan respon para pengunjung selepas bermain sambil belajar bersama alat bantuan mengajar yang kumpulan kami bina. Kami mendapat respon yang sangat baik daripada pengunjung. Gambar-gambar di atas menunjukkan respon para pengunjung. 


SELEPAS PAMERAN

  • Selepas pameran, banyak input yang kami peroleh untuk memperbaiki alat bantuan mengajar kumpulan kami. 
  • Selepas pameran kami dikehendaki untuk membina blog bagi berkongsi dengan semua pembaca tentang bahan bantuan mengajar yang kami telah hasilkan.

Harapan 


Kumpulan kami berharap agar semua yang membaca blog ini mendapatkan manfaat dan manfaat tersebut boleh turut dikongsikan kepada orang lain. Guru-guru juga diharapkan agar dapat menggunakan dan mengaplikasikan alat bantu mengajar yang telah dibina di sekolah. Semoga bermanfaat. :)



Kepentingan Bahan Bantuan Mengajar

Setiap sesuatu yang dilakukan atas muka bumi pasti mempunyai tujuan yang tertentu. Bahan bantuan yang kami tunjukkan sudah pasti mempunyai kepentingan yang tersendiri yang sudah pasti dapat membantu pelbagai pihak khususnya guru-guru untuk melakukan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan lebih berkesan dan menarik minat pelajar. Oleh itu, berikut merupakan kepentingan bahan bantuan mengajar yang kami telah jelaskan. 

Setiap bahan bantuan mengajar yang digunakan sudah pasti mempunyai kepentingan yang tersendiri. Menurut Charles F. Hoban, James D. Finn dan Edgar Dale (1964) bahan bantuan mengajar merupakan satu asas yang kuat bagi menjelaskan sesuatu konsep. Bahn bantuan mengajar diperlukan dalam pengajaran di kelas adalah bertujuan sebagai daya penarik kepada pelajar-pelajar untuk terus memberi tumpuan kepada pengajaran yang hendak disampaikan.

Selain itu, bahan bantuan mengajar adalah bertujuan untuk memberikan hasil pembelajaran yang lebih kekal. Tanpa bahan bantuan mengajar pelajar hanya akan masuk kelas dan mendengar pengajaran yang disampaikan dan sekadar melakukan latihan bertulis sahaja. Pengukuhan seperti ini tidak akan memberi kesan yang lama kepada pelajar. Namun, dengan adanya bahan bantuan mengajar pelajar akan merasai sendiri keseronokan pembelajaran dalam kelas. Malah pelajar yang merupakan seorang kinestetik juga mendapat manfaat dalam pengajaran yang menggunakan bahan bantuan mengajar kerana pengajaran yang sebegini dapat memberi pengalaman sebenar yang mampu merangsang pemikiran pelajar.

Seterusnya, pengajaran yang melibatkan bahan bantuan mengajar dapat membina pemikiran yang berterusan. Sebagai contoh, pengajaran sesuatu subjek yang menggunakan filem bergerak dapat membina pemikiran pelajar iaitu pelajar dapat berfikir hubungkait antara subjek yang sedang ditelaah dengan aktiviti yang dilakukan. Oleh itu, hal ini dapat mengelakkan pelajar yang pasif dan kesannya mengurangkan perasaan mengantuk pelajar dalam kelas.

Di samping itu, Kamarudin Hj. Husin (1988) merumuskan kepentingan bahan bantuan mengajar dapat memberikan ransangan dan minat murid-murid dalam pengajaran yang dilaksanakan oleh guru. Sebagai contoh, seubjek sejarah merupakan subjek yang paling sukar difahami dan sukar mendapat minat pelajar tetapi dengan adanya bahan bantuan mengajar pelajar mudah memahami dan meminati subjek sejarah dengan mudah tanpa perasaan lesu ketika pengajaran sedang dilaksanakan.

Bahan bantuan mengajar adalah perlu dalam pengajaran seorang guru kerana dapat menyediakan dasar kukuh untuk perkembangan kefahaman dan corak pemikiran. Malah bahan bantuan mengajar juga diperlukan agar dapat mengurangkan gerak balas lisan yang sudah tidak diperlukan daripada murid-murid. Hal ini kerana, sekiranya pengajaran hanya melibatkan gerak balas lisan akan menyebabkan murid bosan dalam kelas dan mula tidak focus tetapi dengan melibatkan gerak fizikal pelajar akan lebih aktif dan tidak bosan untuk turut terlibat sama dalam aktiviti pengajaran tersebut.

Bahan bantuan mengajar juga amat perlu kerana dapat membekalkan dasar perkembangan pembelajaran dan menjadikan pembelajaran mereka lebih kekal iaitu pengetahuan yang mereka peroleh hasil dalam pembelajaran tidak bersifat sementara sahaja. Bukan itu sahaja, menurut beliau bahan bantuan mengajar ini dapat menyediakan pengalaman baru yang tidak diperoleh dengan mudah oleh cara-cara lain dan juga menjadikan pembelajaran murid-murid lebih mendalam dan beragam. Pengajaran tidak hanya satu jenis sahaja tetapi dipelbagaikan agar dapat memupuk minat bagi sesuatu subjek. Hasilnya pelajar dapat menguasai subjek tersebut.

Perbendaharaan kata pelajar juga akan berkembang dengan adanya bahan bantuan mengajar dalam pengajaran dalam kelas. Malah dengan aktiviti seperti roda impian yang dilakukan di kelas sebagai bahan bantuan mengajar mendorong pelajar-pelajar untuk menyiasat apa yang mereka telah pelajari dan dengan hal demikian akan mendorong pelajar untuk membaca dengan lebih lagi kerana sifat ingin tahu mereka.

Tuntasnya, bahan bantuan mengajar adalah sangat diperlukan kerana bukan sahaja memberikan manfaat kepada pelajar tetapi memberikan manfaat kepada guru iaitu dapat menjimatkan masa guru dalam pengajaran malah masa dapat digunakan sepenuhnya untuk pengajaran yang amat menyeronokkan pelajar dan focus daripada pelajar dengan penuh minat. Oleh hal yang demikian, akan memberikan kepuasan mengajar kepada guru-guru kerana matlamat dalam pengajaran dapat dicapai.


Kekurangan Teknik Prosedur ReQuest


Setiap kelebihan dalam dunia ini pasti mempunyai kekurangan. Begitu juga dengan teknik yang kami pilih sudah pasti mempunyai beberapa kekurangan yang dikenal pasti. Oleh itu, berikut merupakan kekurangan teknik ini kami jelaskan. 

Teknik prosedur request ini juga memiliki kekurangan dalam penggunaanya. Antara kekurangan dalam penggunaan teknik ini adalah guru sukar memberikan tumpuan kepada keseluruhan pelajar di dalam bilik darjah kerana terdapat monopoli pelajar tertentu yang aktif bertanya di dalam bilik darjah. Di dalam sesebuah kelas, sudah pasti akan terdapat pelajar yang berada dalam kelompok cerdik dan rajin dan kelompok pelajar yang kurang cerdik dan malas. Pelajar yang cerdik selalunya aktif dalam mengajukan pertanyaan manakala pelajar yang kurang cerdik lebih suka untuk mendengar dan bersikap pasif di dalam kelas dan jika guru bertanyakan soalan mereka tidak juga mampu untuk menjawabnya menyebabkan kelompok pelajar yang cerdik menjawab soalan yang ditanyakan. Oleh hal yang demikian, guru hanya mampu berinteraksi dengan kelompok yang cerdik dan rajin ini sahaja.

Selain itu, penggunaan teknik ini juga menyebabkan guru yang kurang menguasai kandungan teks akan sukar menerangkan kepada pelajar mengenai maksud sebenar yang terdapat di dalam sesuatu petikan. Seseorang guru terutamanya guru yang baru sahaja dipostingkan sudah pasti masih belum menguasai kandungan buku teks yang perlu diajarkan kepada para pelajar. Hal ini menjadi lebih parah jika guru yang mengajar diminta mengajar matapelajaran yang tiada bersangkutan dengan apa yang telah dipelajari ketika di peringkat universiti. Sebagai conoth, terdapat guru bahasa Melayu disuruh mengajar matapelajaran pengajian Moral yang tiada bersangkutan dengan bidang pengajiannya. Walaupun pendidikan Moral dilihat sebagai satu matapelajaran yang mudah, namun jika seseorang guru itu tidak menguasai matapelajaran tersebut terlebih dahulu, sudah pasti guru tersebut tidak akan mampu untuk menjawab setiap persoalan yang dikemukan oleh para pelajar.

Disamping itu, teknik prosedur request ini boleh menjatuhkan keyakinan diri pelajar sekiranya mereka tidak berupaya untuk menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh guru mereka. Di dalam kaedah pembelajaran dua hala, terdapat soalan yang dikemukakan oleh guru secara perseorangan kepada para pelajar. Soalan yang tidak dapat dijawab oleh pelajar menyebabkan rakan-rakan sekelas mengejek serta memandang rendah kepada pelajar tersebut. Situasi seperti ini boleh menjejaskan keyakinan diri pelajar tersebut untuk menonjolkan diri di dalam kelas bahkan pelajar tersebut berasa sangat malu dan boleh menyebabkannya berasa malas unuk ke sekolah.

Kelebihan Teknik Prosedur ReQuest





Antara kelebihan teknik Prosedur ReQuest adalah seperti berikut. 

Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya perlu menggunakan cara yang mengajar tertentu. Rancangan yang dilaksanakan merupakan sebuah strategi dalam proses pengajaran. Prosedur Request merupakan satu teknik yang bertujuan membantu para pelajar membaca sesebuah teks secara kritikal melalui kaedah penyoalan. Prosedur Request merupakan sebuah teknik pembacaan yang dinamik kerana guru dan pelajar saling berinteraksi dalam proses pembacaan mahupun pembelajaran.

            Terdapat banyak kebaikan menggunakan teknik ‘Prosedur Request’ ini antaranya adalah mewujudkan sikap pemikiran yang bersifat kritikal dan analitikal dalam kalangan pelajar   dengan cara menggalakkan sikap suka bertanya. Hal ini akan membuat kan pelajar lebih faham apa yang guru ingin sampikan.
Selain itu, mewujudkan peluang kepada pelajar untuk bertanya kepada guru setelah selesai membaca bagi meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu subjek tersebut. Seterusnya, kebaikan teknik ‘Prosedur Request’ ini juga boleh mewujudkan suasana pembacaan yang dinamik dengan penglibatan aktif guru dan pelajar saling menyoal antara satu sama lain. Teknik ‘Prosedur Request’ membolehkan pelajar membuat keputusan berkaitan dengan apa - apa yang mereka percaya tentang sesuatu cerita atau sesuatu isu  yang spesifik. Hal ini kerana hasil daripada wujudnya suasana soal menyoal antara guru dan pelajar.

            Di samping itu, Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Salah satu sebab yang membolehkan teknik ini diterapkan dalam proses P&P ialah menggalakkan pelajar merumuskan soalan-soalan. Keadaan ini berlaku kerana teknik ini membenarkan pelajar membaca bahan yang disediakan oleh guru. Kemudian, mereka diberikan masa untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami oleh para pelajar. Melalui soalan yang dikemukakan oleh guru ini dapat melihat potensi pelajar dalam membina soalan untuk ditanya kepada guru mengenai artikel yang diperolehi.

            Selain itu, teknik ini perlu diterapkan dalam proses P&P kerana pelajar akan mendapat faedah daripada hasil bacaan. Rebecca (2006) menyatakan persoalan dapat membantu pembaca menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada tentang suatu topik. Sebagai contoh, pelajar mengemukakan soalan bagi memahami tentang pencemaran bunyi.  Apabila semua soalan yang dikemukakan terjawab, maka mereka mendapat pengetahuan baru tentang pencemaran bunyi. Di samping itu, teknik ini diterapkan dalam proses P&P kerana dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar. Interaksi dua hala ini secara tidak langsung telah meningkatkan kefahaman para pelajar. Menerusi teknik ini, pelajar diarahkan membaca bahan bacaan secara senyap. Setelah selesai membaca bahan bacaan, pelajar akan mengemukakan soalan kepada guru tentang isi kandungan yang tidak difahami. Setelah itu, guru akan memberi penerangan mengenai bahan bacaan mereka. Kemudian, guru pula akan bertanya soalan kepada pelajar.

            Akhir sekali, kelebihan teknik ini adalah menggalakkan pelajar untuk kembali membaca teks untuk  mengesahkan atau menjelaskan maklumat, menggalakkan pelajar untuk mempertimbangkan kepelbagaian  tafsiran dalam bahan yang dibaca dan menggalakkan pelajar untuk menilai penerimaan dan kerelevan tafsiran alternatif dari bahan yang    dibaca yang bersaing antara satu dengan lain. 

Definisi Teknik Prosedur ReQuest ?

 

Teknik alat bantu mengajar yang telah dipilih adalah teknik prosedur ReQuest. Teknik ini merujuk kepada teknik mengajar kefahaman membaca dan berfikir secara kritikal yang melibatkan Prosedur Request. Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Prosedur Request ini dirangka untuk membantu pelajar membaca secara kritikal melalui penyoalan. Teknik ini merupakah salah satu teknik membaca yang dinamik, iaitu guru dan pelajar saling berinteraksi dalam proses pembacaan. Dalam hal ini, guru dan pelajar berinteraksi melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru kepada para pelajar ketika proses pembacaan sedang berlangsung.  

 Selain itu, Tierney (2000) menjelaskan Prosedur Request sebagai satu persoalan yang dibina bagi meningkatkan kefahaman membaca dan membantu pembaca berfikir secara kritis. Beliau turut menyatakan pembaca boleh mengeluarkan persoalan tentang bahan yang dibaca supaya lebih memahami sesuatu kandungan bahan bacaan dengan berdasarkan  teknik 5W1H. 5W1H membawa maksud ‘What’, ‘Who’, ‘When’, ‘Where’, ‘Why’ dan How. Melalui teknik ini, seseorang dapat menggunakan kaedah tersebut untuk mengumpulkan maklumat dan menganalisis maklumat tersebut.

 Dalam proses P&P, teknik Prosedur Request diterapkan melalui sesi soal jawab yang dikemukakan oleh pelajar kepada guru serta guru mengemukakan soalan kepada pelajar (Barr et al, 2002). Soalan yang berunsurkan KBKK boleh diterapkan oleh guru dalam P&P untuk meningkatkan kefahaman dan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis. Hal ini dapat menyebabkan guru mudah untuk mengetahui kefahaman para pelajar melalui mutu jawapan yang mereka berikan bagi menjawab soalan-soalan yang guru kemukakan. Oleh itu, teknik Prosedur Request ini secara umumnya dapat mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran dua hala yang secara langsung meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bahan bacaan yang dibaca.

APA ITU MEMBACA?


KIta sering mendengar kata-kata pendeta "Membaca Jambatan Ilmu" namun apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan membaca. Membaca adalah satu kegiatan mempersepsi, menganalisis, menginterpretasi yang dilakukan oleh pembaca untuk memperoleh pesan yang hendak disampaikan oleh penulis dalam media tulisan.  Oleh itu, laman ini akan menerangkan teknik yang boleh digunakan digunakan dalam aktiviti membaca .