Saturday, 28 May 2016

Kelebihan Teknik Prosedur ReQuest





Antara kelebihan teknik Prosedur ReQuest adalah seperti berikut. 

Untuk mencapai objektif-objektif pengajaran, seseorang guru biasanya perlu menggunakan cara yang mengajar tertentu. Rancangan yang dilaksanakan merupakan sebuah strategi dalam proses pengajaran. Prosedur Request merupakan satu teknik yang bertujuan membantu para pelajar membaca sesebuah teks secara kritikal melalui kaedah penyoalan. Prosedur Request merupakan sebuah teknik pembacaan yang dinamik kerana guru dan pelajar saling berinteraksi dalam proses pembacaan mahupun pembelajaran.

            Terdapat banyak kebaikan menggunakan teknik ‘Prosedur Request’ ini antaranya adalah mewujudkan sikap pemikiran yang bersifat kritikal dan analitikal dalam kalangan pelajar   dengan cara menggalakkan sikap suka bertanya. Hal ini akan membuat kan pelajar lebih faham apa yang guru ingin sampikan.
Selain itu, mewujudkan peluang kepada pelajar untuk bertanya kepada guru setelah selesai membaca bagi meningkatkan kefahaman yang lebih mendalam tentang sesuatu subjek tersebut. Seterusnya, kebaikan teknik ‘Prosedur Request’ ini juga boleh mewujudkan suasana pembacaan yang dinamik dengan penglibatan aktif guru dan pelajar saling menyoal antara satu sama lain. Teknik ‘Prosedur Request’ membolehkan pelajar membuat keputusan berkaitan dengan apa - apa yang mereka percaya tentang sesuatu cerita atau sesuatu isu  yang spesifik. Hal ini kerana hasil daripada wujudnya suasana soal menyoal antara guru dan pelajar.

            Di samping itu, Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai diterapkan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Salah satu sebab yang membolehkan teknik ini diterapkan dalam proses P&P ialah menggalakkan pelajar merumuskan soalan-soalan. Keadaan ini berlaku kerana teknik ini membenarkan pelajar membaca bahan yang disediakan oleh guru. Kemudian, mereka diberikan masa untuk bertanya tentang perkara yang tidak difahami oleh para pelajar. Melalui soalan yang dikemukakan oleh guru ini dapat melihat potensi pelajar dalam membina soalan untuk ditanya kepada guru mengenai artikel yang diperolehi.

            Selain itu, teknik ini perlu diterapkan dalam proses P&P kerana pelajar akan mendapat faedah daripada hasil bacaan. Rebecca (2006) menyatakan persoalan dapat membantu pembaca menghubungkan pengetahuan baru dengan pengetahuan sedia ada tentang suatu topik. Sebagai contoh, pelajar mengemukakan soalan bagi memahami tentang pencemaran bunyi.  Apabila semua soalan yang dikemukakan terjawab, maka mereka mendapat pengetahuan baru tentang pencemaran bunyi. Di samping itu, teknik ini diterapkan dalam proses P&P kerana dapat mewujudkan suasana pembelajaran 2 hala antara guru dan pelajar. Interaksi dua hala ini secara tidak langsung telah meningkatkan kefahaman para pelajar. Menerusi teknik ini, pelajar diarahkan membaca bahan bacaan secara senyap. Setelah selesai membaca bahan bacaan, pelajar akan mengemukakan soalan kepada guru tentang isi kandungan yang tidak difahami. Setelah itu, guru akan memberi penerangan mengenai bahan bacaan mereka. Kemudian, guru pula akan bertanya soalan kepada pelajar.

            Akhir sekali, kelebihan teknik ini adalah menggalakkan pelajar untuk kembali membaca teks untuk  mengesahkan atau menjelaskan maklumat, menggalakkan pelajar untuk mempertimbangkan kepelbagaian  tafsiran dalam bahan yang dibaca dan menggalakkan pelajar untuk menilai penerimaan dan kerelevan tafsiran alternatif dari bahan yang    dibaca yang bersaing antara satu dengan lain. 

No comments:

Post a Comment