Saturday, 28 May 2016

Definisi Teknik Prosedur ReQuest ?

 

Teknik alat bantu mengajar yang telah dipilih adalah teknik prosedur ReQuest. Teknik ini merujuk kepada teknik mengajar kefahaman membaca dan berfikir secara kritikal yang melibatkan Prosedur Request. Prosedur Request merupakan salah satu teknik yang sesuai digunakan dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P) di dalam bilik darjah. Prosedur Request ini dirangka untuk membantu pelajar membaca secara kritikal melalui penyoalan. Teknik ini merupakah salah satu teknik membaca yang dinamik, iaitu guru dan pelajar saling berinteraksi dalam proses pembacaan. Dalam hal ini, guru dan pelajar berinteraksi melalui soalan-soalan yang dikemukakan oleh guru kepada para pelajar ketika proses pembacaan sedang berlangsung.  

 Selain itu, Tierney (2000) menjelaskan Prosedur Request sebagai satu persoalan yang dibina bagi meningkatkan kefahaman membaca dan membantu pembaca berfikir secara kritis. Beliau turut menyatakan pembaca boleh mengeluarkan persoalan tentang bahan yang dibaca supaya lebih memahami sesuatu kandungan bahan bacaan dengan berdasarkan  teknik 5W1H. 5W1H membawa maksud ‘What’, ‘Who’, ‘When’, ‘Where’, ‘Why’ dan How. Melalui teknik ini, seseorang dapat menggunakan kaedah tersebut untuk mengumpulkan maklumat dan menganalisis maklumat tersebut.

 Dalam proses P&P, teknik Prosedur Request diterapkan melalui sesi soal jawab yang dikemukakan oleh pelajar kepada guru serta guru mengemukakan soalan kepada pelajar (Barr et al, 2002). Soalan yang berunsurkan KBKK boleh diterapkan oleh guru dalam P&P untuk meningkatkan kefahaman dan menggalakkan pelajar berfikir secara kritis. Hal ini dapat menyebabkan guru mudah untuk mengetahui kefahaman para pelajar melalui mutu jawapan yang mereka berikan bagi menjawab soalan-soalan yang guru kemukakan. Oleh itu, teknik Prosedur Request ini secara umumnya dapat mewujudkan proses pengajaran dan pembelajaran dua hala yang secara langsung meningkatkan kefahaman pelajar terhadap bahan bacaan yang dibaca.

No comments:

Post a Comment